AGAMASELANGOR

Ahmad Dusuki terus pegang tauliah mengajar di Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memutuskan untuk terus membenarkan pendakwah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani, memegang tauliah mengajar agama Islam, di Selangor.

Perkara itu dimaklumkan sendiri beliau menerusi paparan video secara langsung Facebook ‘Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani’ selepas menerima surat ditandatangani Setiausaha Jawatankuasa Tauliah MAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, daripada wakil JAIS, hari ini.

“Jawatankuasa Tauliah Jabatan Agama Islam Selangor yang bersidang pada 10 April 2018 memutuskan bahawa tuan dibenarkan terus memegang tauliah mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai agama Islam di dalam Negeri Selangor seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2015.

“Diingatkan untuk mengelakkan diri daripada pengataan yang boleh membawa keapda taasub dan kebencian secara langsung atau tidak langsung melibatkan sesama umat Islam seperti yang dinyatakan di Para 17(c)(d) dan Para 23 Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya.

Katanya, penggantungan sementara tauliah terhadapnya dibuat susulan terdapat laporan daripada beberapa individu berhubung doa yang dibaca pada satu himpunan, di Seksyen 17, di sini.

Ahmad Dusuki yang mengakui kesilapannya berkata, doa yang dibaca itu adalah tafsir daripada Qunut Nazilah dan mendakwa disalah lapor agensi media.


Pengarang :