NASIONAL

Berhenti ugut pegawai SPRM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 APR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan amaran tegas kepada individu yang cuba mengugut pegawai-pegawai kanan SPRM dengan menghantar peluru hidup serta nota berbaur ugutan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, cubaan mengugut kakitangannya tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus menjalankan tanggungjawab bagi membenteras gejala rasuah.

“Saya mahu mereka yang terbabit menghentikan perbuatan itu kerana tindakan pengecut sedemikian tidak akan sama sekali melemahkan semangat pegawai-pegawai SPRM daripada melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan kepada kami.

“Malah, perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntik lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam memastikan hak masyarakat terbela daripada anasir-anasir rasuah dan salah guna kuasa di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, dua pegawai menerima bungkusan mengandungi peluru hidup dan nota berbaur ugutan yang diletakkan di dalam peti rumah masing-masing.

Dua anggota pegawai itu telah membuat laporan polis dan SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang prosiding siasatan.

“SPRM juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada polis atas tindakan pantas mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut dan mengenalpasti mereka terlibat dalam perbuatan itu,” katanya.

=EZY=


Pengarang :