SUKANKINI

Amirudin yakin PKNS FC capai sasaran, cipta kejutan

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 17 APR: PKNS FC mampu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Unifi Liga Super musim ini berdasarkan prestasi semasa berbanding pencapaian musim lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kualiti pemain dan mutu persembahan dipamerkan ketika ini membuktikan mereka mampu menghadapi tekanan Unifi Liga Super.

“Dengan kedudukan sekarang, PKNS FC mampu berada pada kedudukan keenam dan bersungguh-sungguh mempertahankan empat teratas sehingga ke penghujung liga.

“Mungkin dalam musim pemindahan pemain mereka perlu membuat beberapa pertukaran terutamanya bahagian serangan atau pertahanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Mampu Milik PKNS di Kampung Seri Temenggung, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin, optimis The Red Ants mampu mencapai sasaran dan mencipta kejutan apabila selepas kejayaan menewaskan Perak, 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Shopee Piala FA.

“Walaupun kurang selesa, namun rekod pertemuan dengan Perak agak baik dan pernah menang di Lumut dan Shah Alam.

“Jadi, saya harap kesemua pemain dapat mengekalkan momentum tersebut sekali gus dapat melepasi cabaran untuk pusingan kedua suku akhir akan datang,” katanya.

Kemenangan 2-1 ke atas Perak di Stadium Shah Alam, 7 April lalu memberi sedikit kelebihan buat PKNS FC menjelang perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, 21 April nanti.


Pengarang :