BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

E-Sport lahirkan pemain profesional

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APR: Kerajaan Negeri terus komited menganjurkan permainan E Sport sebagai mengiktiraf atlet terbabit di negeri itu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, landasan itu dapat mengetengahkan bakat pemain, sekali gus melahirkan pemain profesional.

Katanya, Selangor memenuhi permintaan peminat permainan dalam talian dan membantu mereka menjana pendapatan selain menukar persepsi ia membuang masa serta wang.

“Kerajaan Negeri memulakan E Sport ini sejak 2014, setiap tahun dilaksanakan tanpa gagal.

“Kita beri tumpuan kepada ‘mobile game’ seperti ini contohnya permainan Mobile Legend ini, kita percaya ada impak positif walaupun kadang kala ramai yang memandang perkara seperti ini membuang masa.

“Tetapi kita perlu lihat ke hadapan, perkembangan E-Sports ketika ini sedang pesat membangun,” katanya kepada SelangorKini selepas merasmikan Selangor Mobile Legends Championship 2018 (E-Sport), di SACC Mall, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata penganjuran julung kali ‘Selangor Mobile Legends’ mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 128 pasukan.

“Sambutan yang diberikan luar biasa. Kita menerima penyertaan dari Singapura selain Lembah Klang dan negeri lain,” katanya.

Dalam program itu, seramai 640 peserta mengambil bahagian bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM20,000.

Terdahulu, Selangor negeri pertama menganjurkan dan mengiktiraf atlet E-Sport, sejak 2014.

=EZY=


Pengarang :