NASIONAL

Dr Wan Azizah: PAKATAN yakin sokongan rakyat tolak Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

PANDAN, 2 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) optimis terhadap sokongan rakyat yang tinggi di seluruh negara kepada parti itu dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti bagi mengambilalih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN)

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perubahan ditunjukkan dengan sokongan rakyat secara menyeluruh menyakinkan PAKATAN bagi merealisasikannya.

“Kita optimis untuk melakukannya bagi mendapat majoriti mudah dengan sokongan rakyat termasuk di Sabah yang mahukan perubahan ini.

“Apabila PAKATAN ke sana (Sabah) memang nampak perubahan daripada segi sokongan berbanding kepada BN dan ia petanda positif,” katanya yakin jika ia berlaku maka Sarawak juga akan mengalih sokongan kepada PAKATAN.

Dr Wan Azizah berkata demikian selepas majlis pelancaran pusat operasi AMANAH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sokongan rakyat dilihat lebih kukuh kepada PAKATAN kali ini yang memungkinkan kebangkitan rakyat secara keseluruhan dalam PRU nanti.

Untuk Parlimen PANDAN, katanya, pelbagai isu berjaya diatasi PAKATAN dan yakin sokongan rakyat berterusan walaupun berdepan saingan sengit daripada empat calon lain di kawasan itu.

“Saya yakin pengundi di Pandan bijak menilai apa ditawarkan PAKATAN melalui manifesto lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

“Hasil perbincangan dengan mantan Ahli Parlimen, Rafizi Ramli, banyak perkara dapat diselesaikan dan saya akan fokus kepada beberapa isu tempatan untuk tindakan susulan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :