NASIONAL

SPR siasat kelewatan undi pos

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) akan menyiasat secara terperinci aduan pengundi berkenaan kelewatan dan tidak menerima kertas undi pos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit.

“Kita memandang serius perkara ini dan pihak kami akan menyiasat masalah dalam hal ini.

“Kita menerima beberapa aduan dan SPR memandang serius dan akan menyiasat lanjut,” katanya dalam sidang medianya.

Terdahulu, Gabungan untuk pilihan raya bersih dan adil (BERSIH) berkata SPR membuat “kenyataan tidak bertanggungjawab” memberi peringatan kepada pengundi pos supaya jangan mengirim undi pos pada saat akhir.

Pengarah Eksekutif BERSIH Yap Swee Seng berkata terdapat banyak aduan daripada pengundi yang masih belum menerima kertas undi pos mereka walaupun hari pengundian bakal berlangsung tiga hari lagi pada 9 Mei.

“Saya fikir ini kesalahan SPR sebab terdapat banyak kes seperti ini,” katanya.

Beliau berpendapat SPR tidak boleh menyalahkan Pos Malaysia, yang bertanggungjawab untuk mengeposkan undi kepada pengundi pos dalam negeri dan luar negara, kerana SPR yang memutuskan tempoh berkempen 11 hari antara hari penamaan calon pada 28 April ke hari pengundian pada 9 Mei.

 


Pengarang :