NASIONAL

SPR sanggah berita palsu kertas undi tidak dicop

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 9 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya mengenai khabar angin mengenai kertas undi tidak dicop di sebuah pusat mengundi yang tular hari ini

Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah berkata, hasil semakan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang disebarkan dan beliau mendakwa ia disebarkan untuk menimbulkan rasa panik dalam kalangan pengundi.

“Jika berlaku kesilapan itu, ia kes terpencil. Pengundi diminta tidak bimbang sekiranya Ketua Tempat Mengundi (KTM) berpuas hati bahawa kertas undi dibawa keluar secara sah dan ia merupakan kesilapan petugas dalam salurannya, maka KTM tidak boleh menolak mana-mana kertas undi dalam keadaan ia telah dikeluarkan secara sah.

“Pengundi diminta untuk tidak terpedaya dengan mesej tular ini kononnya SPR telah melakukan penipuan dengan cara sedemikian kerana proses tersebut turut disaksikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk agen-agen calon,” katanya pada sidang media di Menara SPR.

Menurutnya, statistik keluar mengundi sehingga jam 1 tengah hari sebanyak 55 peratus.

Katanya, kesesakan orang keluar mengundi sehingga mengakibatkan terpaksa beratur panjang sejak awal pagi disebabkan pengundi keluar serentak.

Ia turut didorong khabar angin kononnya kertas undi dikhuatiri akan diundi oleh pihak lain jika hadir lewat serta faktor ramalan kaji cuaca.

Hashim turut memaklumkan kesungguhan pengundi keluar kali ini cukup memberangsangkan kerana peratusan keluar mengundi mencapai 24 peratus sehingga jam 10 pagi.

“Saya berharap dengan tempoh masa yang berbaki beberapa jam lagi, semua pengundi diharapkan dapat menunaikan tanggungjawab mereka keluar mengundi,” katanya.

=EZY=


Pengarang :