KLANG 23 JUN: Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) menafikan tular dakwaan seorang waris pesakit bahawa darah jenis O negatif semakin berkurangan di hospital terbabit.
Pengarah HTAR, Dr. Mohamad Sabri Othman berkata, hasil siasatan mendapati bekalan darah O negatif pada ketika ini adalah mencukupi.
Katannya, pihaknya turut telah membekalkan keperluan bekalan darah yang mencukupi kepada pesakit tersebut.
“Darah jenis O negatif adalah dikategorikan sebagai kumpulan darah yang jarang dijumpai (rare).
“Sehubungan itu, semua tabung darah tidak menyimpan stok yang banyak pada satu-satu masa. Bagaimanapun, stok sedia ada adalah mencukupi untuk kegunaan semasa kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jelas beliau, HTAR juga mempunyai senarai penderma darah tersebut untuk dipanggil pada bila-bila masa terutama pada waktu kecemasan.
Justeru, Mohammad Sabri menegaskan pihaknya memandang serius isu tersebut dan menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat palsu seterusnya menyebarkannya kepada orang lain.
SUMBER: KOSMO!