SASTERA

Tentang Juli

Oleh Nasser Mikraj

I

Juli ketawa dalam perlembagaan. Juli menyanyi dalam undang-undang. Juli menari dalam demokrasi sebelum kencing di Parlimen sambil berlari. Juli bermain judi di kepala pak menteri dan cabut bulu hidung kroni-kroni. Juli merengek manja di kepala isteri-isteri YB.

Kita mulai ketawa ketika Juli upah kontraktor dirikan tempurung konkrit. Salah satunya di kampung kita!

“Siapa Juli??”

“DIAM! INI RAHSIA!”

Segalanya bermula dengan keanehan. Ya, Juli sendiri sesuatu yang aneh buat kita. Sekiranya kau tahu tentangnya, kau juga perlu diam. Tapi ada keanehan yang lebih lagi membakar rahsia ini sehingga rentung. Sehinggakan kita yang dahagakan jawapan pada rahsia itu sudah menjadi abu, malah diabu-abukan oleh rahsia itu.

Siapa sebenarnya Juli??

Belum sempat berkata apa, soalan itu terpelanting pada seseorang yang cuba melarikan diri. Keras mendarat di kepala separuh botaknya. Dahinya berkerut menggumam sakit. Terketar-ketar dia mengatur bicara.

Brian Luther Forgan (bukan nama sebenar). Seorang arkeologis. Pantas dia menghumban teori, yang cepat menyusup keluar dari telinga kita. “Mungkin Juli adalah seperti Neanderthal. Manusia yang muncul secara tiba-tiba sekitar 100,000 tahun lampau dan kemudiannya menghilang atau dijangka telah pun berasimilasi. Ia subspesies manusia yang juga dikenali sebagai Homosapiens Neanderthalensis dan dikatakan lahir daripada spesies Homo Erectus, pecahan spesies hominid, suatu spesies yang menyerupai fizikal dan kebudayaan primitif dengan homosapiens. Itulah Juli!”

 

Teori Brian itu menjadi seketul batu yang melontarkan dirinya atas dahi kita yang jahil tentang kepurbakalaan manusia. Kita pura-pura menggangguk tanda mengerti sebelum cepat-cepat melarikan minda dari terus lebam dibaling teori. Soalan itupun terpelanting lagi lebih jauh. Jauh dari teori neo-darwinisme dan pertentangan pendapat tentang hominid di luar kotak akal manusia biasa. Tiba-tiba soalan itu menyergah seseorang yang cuba menyembunyikan diri. Tubuhnya menggeletar. Siapa Juli?

Profesor Madya Dr. Monica Anzalina (bukan nama samaran), seorang penganalisis politik. “Mungkin ‘Juli’ suatu bentuk legitimasi dalam arus politik. Juli adalah proses warisan kepimpinan tanpa rusuhan, demonstrasi dan rampasan kuasa. Mungkin ia jelmaan Putera Talleyrand yang pernah mencanang slogan ‘Pengembalian, Legitimasi dan Pampasan’ dalam Kongres Vienna pada tahun 1814 bagi membantah regim hasil Revolusi Perancis dan pemerintahan Napoelon Bonaparte. Hah, itulah Juli!” Ujar Prof Monica seraya mengesat peluh yang merenik lebat dengan sapu tangan berwarna merah jambu.

Kata-kata Prof Monica itu membentuk hujung yang runcing lalu menyiat otak kita yang tumpul sejarah. Kita pun cepat-cepat melarikan minda dari terus terluka oleh kedunguan sendiri. Persoalan tentang Juli menambahkan darjah kedunguan sedia ada. Soalan itupun terpelanting sekali lagi.

Siapa Juli?

“Juli itu seperti ajal yang tidak terduga hadirnya.” Hadji Kareem Farsh memperbetulkan lilitan serban yang terurai.

“Juli itu cukai. Malah mungkin inflasi atau pengurangan defisit. Lyssandra menyeringai sebelum memeriksa dompet yang kosong. Syiling berjatuhan.

“Tidak! Juli adalah cabang demokrasi. Juli juga adalah liberalisasi hak asasi!” Than Khuan Wee tersenyum sebelum mengangkat kain rentang bertulis “Jangan Cabuli Hak Kami!”

“Hei kalian, sudah jelas. Juli itu neo-kolonialisme!” Asap rokok berkepul rakus di udara.

“Kau khilaf teman. Juli itu seperti candu. Malah ia ketagihan yang bertemasya di urat saraf kita.” Sebatang picagari terjatuh. Jarumnya masih basah.

“Begini sajalah. Kerana ini rahsia, baik kita diamkan saja. Banyak perkara lagi perlu difikir selain persoalan Juli yang entah apa-apa.” Michael Liew tersenyum sinis beberapa minggu yang lalu sebelum jatuh pengsan selepas diisytihar muflis.

II

Dimensi berputar. Kita pun berhijrah ke suatu keadaan yang jawapan tentang siapa Juli ditawarkan di mana-mana. Kita tersenyum seperti mengisytiharkan kemenangan.

“Oh. Juli tu sebenarnya anak saudara saya. Mak bapa dia pernah hantar dia bersekolah di sekolah Inggeris luar negara. Cita-cita dia mahu jadi peguam. Hobi dia memancing. Dia….”

Kita cepat-cepat melarikan diri sebelum didungukan oleh jawapan Meor Cipan, seorang jaga di sekolah rendah. Kemenangan yang baru cuba bertatih tadi tiba-tiba pandai berdiri dan menumbuk muka kita. Sekali lagi kita melarikan diri. Jauh dari jawapan-jawapan dungu yang menambahkan kedunguan sedia ada. Siapa sebenarnya Juli?

“Masakan kamu nggak tahu. Juli itu kan bulan ketujuh dalam kalender Gregorian. Namanya saja diambil dari nama Julius Caesar, kaisar Romawi yang lahir di bulan itu. Sebelumnya ia disebut Quintilis yang berarti kelima dalam bahasa Latin. Karena menurut kalender Romawi, ianya diawali dari bulan Maret.”

Kita terkedu. Dr. Zalhazri Buyono tersenyum sinis seperti mengukur kedunguan kita yang kononnya berkelulusan tinggi itu. Kita mahu membidas sebelum cemas sendiri kerana kita tidak mengerti bentuk soalan apa lagi yang perlu diutarakan. Sebelum dia menerka (kedunguan kita) dengan lebih lanjut, kita cepat-cepat mengangkat kaki dari ruang pejabat yang dibungkus kedinginan itu. Bergema ketawa yang dibuat-buat, seperti mengejek kedunguan kita sendiri. Ketawa itu ada di mana-mana. Seolah-olah seisi dunia mentertawakan kita.

“Bagi saya. Juli itu penindasan puak majoriti ke atas golongan minoriti.” L. Phow tersenyum sinis. Kita pantas menutup hidung. Ada bau perkauman yang cukup busuk keluar dari mulutnya. Kita cepat-cepat berlalu dan berharap bau itu tidak melekat di tubuh.

“Taubatlah. Judi tu kan perkara dosa. Haram. Tidak usah permainkan perkara agama!” Sekali lagi kita terkedu. Ashari bersuara keras. Kita hanya terdaya menayangkan wajah dungu. Ketulian lelaki itu meracuni darah yang mulai deras berlari dalam kapilari. Kita amankan rasa yang menggelegak. “Juli, bukan Judi!” Sekali lagi kita berlari. Azmhar Ashari ketawa. Kita mengharapkan agar ketawa itu boleh didengar oleh telinganya sendiri.

III

“Saya tahu Juli yang kamu cari adalah suatu infiniti yang tidak berdimensi. Dia seperti mikroorganisme yang terlalu seni. Juli boleh meresap dalam sistem, menyalin fizikal. Malah Juli juga boleh berpesta dalam otak-otak manusia. Kenderai setiap hati.”

Kita yang mulai berputus asa, pantas tersenyum. Seorang pemuda berpakaian cerabah melempar jawapan. Kita merasa seperti sudah mengibar panji kemenangan.

“Abang lihat saja contohnya. Kita ada budaya, kita ada bahasa. Tapi kita masih menyalin budaya dan bahasa orang lain. Kita menjadi peniru yang berdaya saing. Pendek kata, kita diperbonekakan oleh suatu tangan ghaib. Tiada siapa tahu mengenainya. Itulah Juli.”

Kita tersenyum puas sebelum ada suara yang membentak.

“Hei! Itu orang gila! Jauhi dia!”

Suara itu bergema di mana-mana seperti ketawa dunia.


Pengarang :