SELANGOR

Juadah ‘rare’ di sambutan raya agensi agama Islam Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JUL: Bukan sahaja ketupat dan rendang, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor menampilkan kelainan apabila turut menghidangkan beberapa juadah yang jarang terdapat di rumah terbuka lain.

Antara gerai yang menarik perhatian pengunjung pada majlis diadakan di Perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah tadi aneka minuman Starbucks dan Kenny Rogers Roasters.

Selain itu, turut mendapat tumpuan pengunjung, gerai Perbadanan Wakaf Selangor yang menyediakan juadah lempeng dengan sambal ikan bilis dan ubi kayu rebus bersama sambal hijau.

SelangorKini difahamkan, Perbadanan Wakaf Selangor menyediakan lebih 350 keping lempeng untuk dinikmati pengunjung di situ.

Selain itu, juadah lain yang terdapat di majlis itu adalah pecal, buah durian, sate, lemang, nasi arab dan lain-lain.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, lebih 5,000 orang hadir pada majlis rumah terbuka itu.

“Sambutan sangat baik sejak awal tadi sehinggalah sekarang dan lebih bermakna lagi apabila turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Selangor dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ,” katanya.


Pengarang :