ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Gerak langkah agresif hapuskan guna plastik menjelang 2030

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 25 SEPT: Kerajaan Persekutuan sedang menggerakkan langkah agresif untuk menghapuskan penggunaan plastik tunggal (Single-Use Plastic) secara holistik menjelang 2030.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeoh Bee Yin berkata, pihaknya akan memperkenalkan cadangan ‘Road Map Zero Single-Use Plastic 2018-2030’ pada Oktober depan bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, menerusi pelaksanaan cadangan itu, straw minuman plastik hanya akan diberi jika diminta oleh pengguna sahaja.

“Dalam cadangan Road Map ini, beberapa polisi diketengahkan dan diperhalusi termasuk caj dikenakan kepada pengguna bagi setiap plastik beg di pasaraya dan ke mana kutipan 20 sen itu digunakan selepas pengguna membayarnya.

“Bagaimanapun, ia mempunyai jangka masa yang mana kita perlu melalui setiap fasa bagi mencapai hala tuju mengurangkan penggunaan plastik di negara ini.

“Pada masa sama, kita tidak mahu menjejaskan industri pengeluar plastik ini, sebaliknya memastikan mereka untuk menghasilkan lebih banyak produk berasaskan semulajadi melalui produk gantian yang mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Town Hall ‘Addressing Single-Use Plastic’, di Mesmera Ballroom Everly Hotel, di sini, semalam.

Terdahulu, Kementerian Wilayah mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik di semua kedai dan restoran makanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mulai Januari tahun depan 2019.

Penguatkuasaan larangan penggunaan straw minuman plastik berkuatkuasa 1 Jan 2020, ditujukan kepada peniaga dan pengusaha kedai makan yang juga pemegang lesen tetapi bukan orang ramai.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, kerajaan sedang meneliti alternatif menggantikan straw plastik konvensional kepada straw berasaskan bahan biodegrasi atau kertas yang lebih mesra alam.

Katanya, penggunaan bahan itu memerlukan kos yang tinggi.

“Justeru, pihak kami juga sedang mengkaji mekanisme terbaik bagi mengurangkan kos itu,” katanya.

Sesi Town Hall itu menyaksikan pembabitan lebih 500 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk EXCO Kerajaan Negeri, pemain industri, ahli akademik, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan Institusi Pengajian Tinggi Awam serta Swasta.


Pengarang :