NASIONAL

UNGA: Ucapan PM tampil Malaysia baharu sebagai demokrasi matang

PUTRAJAYA  25 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan negara pada debat umum sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat (AS) Jumaat ini bagi menonjolkan Malaysia baharu sebagai sebuah demokrasi matang yang mendukung kedaulatan undang-undang.

Kenyataan Wisma Putra menyebut Mahathir yang mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-73 mulai esok hingga 29 September ini sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh selepas kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, mewakili kerajaan baharu dengan mandat dan aspirasi yang baharu.

“Mahathir akan menggariskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota PBB yang lain bagi mencapai matlamat di bawah tema sesi debat umum ke-73 dan seterusnya.

“Beliau juga akan menekankan harapan Malaysia terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pertubuhan antarabangsa utama dimandatkan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Pada lawatan kerja tersebut, Mahathir akan diiringi oleh isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Tema debat umum tahun ini berjudul ‘Menjadikan PBB Relevan Kepada Semua Rakyat: Kepimpinan Global dan Tanggungjawab Bersama Untuk Masyarakat Yang Aman, Seimbang dan Lestari’ dengan tumpuan terhadap hubungan berterusan dengan sistem PBB.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :