SELANGOR

Kerajaan Negeri iltizam pastikan kesejahteraan alam sekitar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri beriltizam memastikan kesejahteraan alam sekitar di Selangor terjamin dan lestari demi generasi masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelbagai dasar sudah dilaksanakan dan kini Kerajaan Negeri masih menerokai pelan baharu berinovatif demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Justeru, adalah janggal apabila ada yang menanyakan ‘return of investment’ (ROI) penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Program pemeliharaan alam sekitar komprehensif berteraskan kepada suatu prinsip asas membolehkan kita, manusia untuk terus hidup di bumi ini.
“Sekiranya alam sekitar terancam, pencemaran bermaharajalela, bagaimana dengan ‘the survival of humanity’? Saya kira kelansungan manusia untuk terus kekal hidup di bumi ini melangkaui apa sahaja ROI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pastikan tarif air tidak bebankan rakyat

Sementara itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berteraskan prinsip Maju Bersama dan berpaksikan Economics for The Common Good memberi jaminan sebarang penetapan tarif air tidak akan membebankan rakyat negeri ini.

Katanya, sebagai negeri berkebajikan, Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip sebarang tindakan dan keputusan berkenaan tarif air akan melihat kepada kemampuan dan keupayaan rakyat supaya tidak membebankan rakyat pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum cadangan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv untuk mengkaji semula tarif air khususnya bagi pengguna domestik yang menggunakan meter individu di bawah kod tarif 10.

“Penetapan kadar tarif air berdasarkan peruntukan Seksyen 84, Akta Industri Perkhidmatan Industri Air (Water Services Industry Act, WSIA), 2006 (Akta 655) yang diwartakan pada 1 Januari 2008.

“Sebarang perubahan tarif akan melibatkan implikasi perundangan memandangkan penetapan tarif air telah pun termaktub dalam Akta 655,” katanya.


Pengarang :