NASIONALSELANGOR

Pemutihan subsidi pesawah dilaksana pastikan bantuan telus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan proses pemutihan subsidi pesawah bagi membolehkan bantuan tersebut sampai kepada penerimanya dengan lebih telus.

Menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, ketirisan dalam pemberian subsidi tersebut menyebabkan ada petani yang tidak menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, ia sekaligus menggagalkan usaha kerajaan untuk memantapkan sektor padi negara.

“Proses pemutihan subsidi ini perlu dibuat memandangkan kita lihat ada penerima bantuan yang mana umurnya semakin meningkat dan sebagainya.

“Saya berharap supaya masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, hari ini.

Salahudin bagaimanapun memberitahu, insentif buat pesawah masih lagi kekal dan tiada rancangan bagi meningkatkan jumlah bantuan terbabit.

“Kerajaan hanya akan meningkatkan hasil pesawah ini melalui pemberian baja yang lebih bermutu, itulah tindakan yang akan dilakukan kementerian bagi membolehkan peningkatan hasil padi,” katanya.


Pengarang :