SELANGOR

Penduduk puas hati nasib bakal terbela

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 29 SEPT: Penduduk berpuas hati dengan Kerajaan Negeri dalam membela nasib mereka terhadap isu projek pembesaran Kampung Melayu Rasa.

Ketua kampung tersebut, Kamarulzaman Alias berkata, apabila mendengar pengumuman daripada Dato’ Menteri Besar (MB), Amirudin Shari untuk membantu infrastruktur kampung itu, perasaannya amat gembira.

“Saya mewakili penduduk kampung ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ MB kerana cuba menyelesaikan masalah ini selepas 20 tahun kami menderita.

“Ini merupakan perkhabaran gembira dan saya berharap supaya ia dapat diselesaikan secepat yang mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bertindak Rumah Terbengkalai Kampung Melayu Rasa, Mohd Hizam Azmi berkata, pihaknya sudah berkali-kali turun naik jumpa pihak berkaitan namun hari ini (semalam) merupakan berita yang amat gembira buat penduduk di sini.

“Perancangan Dato’ MB untuk memadatkan kawasan perumahan dan membantu daripada segi infrastruktur, kami terima dengan hati terbuka asalkan isu terbengkalai dapat diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan akan membantu projek pembesaran Kampung Melayu Rasa itu daripada segi infrastruktur dengan kos membabitkan RM4 juta.

Malah, Amirudin optimis supaya setiap penduduk boleh memberi kerjasama untuk mengemukakan segala dokumentasi menandakan mereka adalah pemilik rumah berkenaan.

Difahamkan, antara isu dihadapi di kampung itu adalah kesukaran mengenalpasti nama peserta yang sudah diluluskan majlis mesyuarat kerajaan negeri akibat berlakunya pertukaran nama, penolakan daripada peserta dan pencalonanan semula sejak kelulusan asal.

Selain itu, rekod pembayaran oleh peserta tiada dalam simpanan Pejabat Tanah dan kontraktor juga sudah tidak dapat dihubungi.


Pengarang :