PELANCONGANSELANGOR

Selangor Fruit Valley, lokasi sesuai pelbagai aktiviti

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 23 SEPT: Kawasan pelancongan agro, Selangor Fruit Valley, antara tarikan terbaharu di Selangor yang sesuai dijadikan lokasi bagi menjayakan pelbagai aktiviti luar dan lawatan.

Pengurus Agro Tourism, Md Saad Mahsah berkata, pemilihannya sebagai lokasi penganjuran #Discovery Selangor Photography Workshop 2018 oleh Tourism Selangor adalah tepat kerana dipenuhi pelbagai kemudahan dan tumbuhan hijau.

“Selangor Fruit Valley dipilih kerana kepelbagaian tanaman buah-buahan yang ada di sini dan boleh menjalankan pelbagai aktiviti juga melihat haiwan yang ada dengan landskap yang cantik.

“Dengan segala kemudahan disediakan, kawasan ini antara lokasi pelancongan agro yang kini menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Beliau berkata, antara keistimewaan di sini ialah pelawat dan pelancong boleh terbabit dengan aktiviti dijalankan seperti menoreh getah, memotong sayur dan sebagainya.

“Selangor Fruit Valley mula dibuka pada Julai tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 45,000 pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

“Dengan catatan itu, kita yakin mencapai lebih 50,000 pengunjung menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Antara kawasan tumpuan di Selangor Fruit Valley ialah Laman Rumah Kampung, Carambola Pavilion, Taman Arnab, Taman Herba dan Makmal Tisu Kultur.

Tenaga Pengajar, Azul Adnan berkata, Selangor Fruit Valley menawarkan kawasan sesuai bagi bengkel fotografi itu kerana dipenuhi pelbagai tanaman hijau yang luas.

“Saya kira ia usaha yang bagus dijalankan penganjur dan perlu diteruskan bagi memperkenalkan kawasan seperti ini bagi tujuan pelancongan,” katanya.

Tourism dengan kerjasama PCP Publications menjalankan #Discover Selangor Photography Workshop 2018 di kawasan pelancongan di Selangor dalan usaha memperkasakan industri pelancongan di negeri itu.


Pengarang :