SELANGOR

Bimbang rumah eksklusif monopoli Cyberjaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 OKT: Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah menyatakan kebimbangan apabila pembangunan di Cyberjaya lebih cenderung terhadap pembinaan rumah kos tinggi yang eksklusif.

Katanya, lebih mendukacitakan terdapat pemaju yang menyalahkan kuota bumiputera tinggi sebagai punca mengapa kebanyakan rumah dibina tidak terjual.

“Saya yakin, alasan ini digunakan bagi melindungi kelemahan dan keengganan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Saya menyokong kenyataan bekas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini menyatakan Cyberjaya bukan pusat perniagaan hartanah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, lebih membimbangkan selepas pengumuman pengecualian cukai SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan, tiada pemaju yang tampil menyokong langkah itu.

Adhif Syann berkata, pemaju juga tidak memberi indikasi penjimatan pengecualian itu akan dipindahkan kepada pembeli.

“Walaubagaimanapun, saya tidak mahu rakyat tempatan khususnya penduduk Sepang dan Dengkil tertinggal arus kemajuan yang bakal datang, justeru usahasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu digiatkan di samping keterbabitan pihak swasta.

“Jika dahulu usaha ini terbantut kerana perbezaan ideologi politik, Malaysia Baharu perlu membawa nafas baru bagi merejuvenasikan hala tuju dan peranan Cyberjaya sebagai pusat inovasi berteknologi tinggi yang mampu memacu negara ke arah kemajuan serta kegemilangan diimpikan,” katanya.


Pengarang :