SUKANKINI

Perak yakini SOPMA 2018 berlangsung jaya

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 16 OKT: Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 diadakan di Perak pada 15 hingga 21 Oktober ini, diyakini berlangsung dengan jayanya seperti Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 lalu.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, dengan kejayaan penganjuran SUKMA 2018, Perak bersedia dengan persiapan rapi untuk SOPMA ke-20, tahun ini.

“Kalau kita bersedia dan berjaya menganjurkan SUKMA 2018 maka sudah tentu kita juga bersedia untuk SOPMA 2018 pula.

“Ini adalah keprihatinan dan usaha Kerajaan Perak menunjukkan solidariti bahawa ‘Sukan Untuk Semua’ termasuk kepada atlet kurang upaya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan SOPMA 2018 di Dewan Seri Perdana, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, berkata berkata, Kerajaan Perak berharap SOPMA ke-20 ini akan menjadi medan kepada atlet kurang upaya mencipta kejayaan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Syabas diucapkan kepada setiap kontinjen kerana sanggup menyahut cabaran ini walaupun banyak halangan dan rintangan dihadapi, namun kegigihan dan kesungguhan anda untuk berjuang demi nama baik negeri mahupun negara amat saya kagumi.

“Perjuangan anda bukan hanya di sini kerana ini adalah pentas untuk mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa dan ia tidak mustahil untuk dicapai,” katanya.

Pada temasya kali ini, 46 pingat emas menjadi rebutan menerusi lima acara dipertanding iaitu bola sepak, futsal, tenpin boling, badminton dan olahraga.

Seramai 2,500 atlet dan pegawai dari 14 negeri menyertai SOPMA ke-20 tahun ini.


Pengarang :