SELANGOR

Jangan terjerat penipuan Macau Scam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 OKT: Polis Selangor mendedahkan sebanyak 750 kes melibatkan penipuan panggilan telefon (Macau Scam) direkodkan melibatkan kerugian sebanyak RM39.268 juta bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 September 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, ACP Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata, jumlah itu meningkat berbanding 731 kes melibatkan kerugian RM21.596 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana walaupun dengan adanya langkah pencegahan jenayah oleh JSJK, teknologi serba canggih serta hebahan melalui stesen televisyen dan laman sosial, masih ramai dalam kalangan masyarakat ditipu dengan modus operandi seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara bersama media di Menara 1, Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor.

Menurutnya, mengikut pecahan kawasan, Petaling Jaya merekodkan jumlah kes tanpa sebarang kerugian tertinggi dengan 369 kes diikuti Gombak (252 kes) dan Klang Utara (78 kes).

Jumlah itu ekoran tindakan orang awam yang segera melaporkan kepada polis selepas menerima panggilan daripada sindiket yang tidak dikenali.

Setakat ini, polis sudah menumpaskan enam sindiket di Selangor sekaligus menyelesaikan beberapa kes di samping terdapat 782 individu yang berpotensi menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

“Buatlah laporan jika mendapat panggilan meragukan dan meminta anda membayar sejumlah wang dengan mendakwa anda mempunyai hutang pinjaman bank atau kes berkaitan mahkamah.

“Polis mengalu-alukan mangsa berpotensi untuk membuat laporan kepada kita. Saya harap jika dapat panggilan Macau Scam jangan diam tapi beritahu polis,” katanya.

Dalam sesi wawancara sama, dua individu yang menjadi mangsa Macau Scam turut tampil menceritakan pengalaman ditipu ribuan ringgit sindiket.

Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Ida, 58, kerugian RM71,700 selepas melakukan beberapa transaksi kepada sindiket.

Akibat terlalu takut, beliau menuruti semua arahan sindiket hingga menyerahkan semua wang sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Shah Alam.

Malang turut menimpa seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Lim apabila kerugian RM110,000 menerusi tiga transaksi masin-masing berjumlah RM25,000, RM25,000 dan RM60,000.

Kedua-dua mangsa dimaklumkan sindiket mempunyai sejumlah hutang di bank dan akan didakwa di mahkamah di Kuala Terengganu.

 


Pengarang :