AGAMASELANGOR

LZS ingatkan peniaga ‘online’ lunas zakat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meningatkan peniaga dalam talian, di negeri ini supaya membayar zakat jika transaksi sudah cukup haul.

Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, hal itu kerana perniaga dalam talian juga menjalankan transaksi wang ringgit dan membabitkan untung serta rugi.

Katanya, jika pendapatan perniagaan itu positif, maka kiraan mengikut fardhu kifayah melalui LZS perlu dilakukan.

“Bagaimanapun, LZS tidak pernah membuat paksaan terhadap peniaga mengeluarkan zakat mereka dan kita tidak pernah cuba mengesan peniaga berkenaan.

“Bagi peniaga dalam talian yang mengeluarkan zakat, ini adalah antara individu yang datang sendiri ke LZS, namun sebelum potongan dibuat, kita terlebih dahulu akan mengadakan sesi temu ramah bagi mengenal pasti sumber pendapatan itu halal ataupun haram,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Muzakarah Zakat Kebangsaan kali kedua, di Hotel Grand Bluewave, di sini, hari ini.

Abdul Basith berkata, kesedaran dalam kalangan peniaga itu juga semakin meningkat menerusi kerjasama daripada penulis blog yang turut mempromosikan kepentingan zakat melalui media sosial.

“LZS turut gembira melihat perkembangan kesedaran orang awam terhadap zakat kerana pada tahun lalu, kita berjaya mengutip hampir RM800 juta.

“Tahun ini kita sasarkan kutipan lebih daripada itu, dengan harapan lebih ramai golongan asnaf dapat dibantu,” katanya.


Pengarang :