BERITA UTAMASELANGOR

MB iringi Sultan Selangor solat Jumaat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menunaikan solat Jumaat, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 12.45 tengah hari disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mengiringi baginda mendirikan solat sunat tahiyatul masjid.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Solat Jumaat dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya dengan khutbah bertajuk: Kewajipan Membayar Hutang.

Pengisian khutbah tertumpu kepada tuntutan membayar hutang kerana ia adalah amanah besar yang wajib dilunaskan bagi menjamin hak sesama manusia.

Selain itu, khatib turut menjelaskan gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir serta Islam melarang umatnya daripada membazir kerana ia suatu perbuatan keji.

Seusai solat fardhu Jumaat, baginda meluangkan masa bersalaman bersama ribuan jemaah seterusnya menyertai Ramah Mesra Santapan Tengah Hari bersama Imam Besar Masjid Al-Aqsa Palestin, Dr Ekrima Sa’eed, di Dewan Santapan masjid.

Baginda berangkat pulang sekitar jam 2.30 petang.


Pengarang :