NASIONAL

Rejab Chin dinobat Pekerja Terbaik Industri Penghantaran E-Dagang 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Kakitangan syarikat Nationwide Express Courier Services Bhd, Md Rejab Chin menerima pengiktirafan sebagai Pekerja Terbaik Industri dalam Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2018 (EDA 2018).

Kemenangan itu sekali gus melayakkannya membawa pulang RM2,000 beserta sijil penyertaan selepas berjaya mengalahkan tiga pesaing daripada agensi berlainan.

Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, di Hotel Majestic, di sini, malam tadi.

Anugerah Pekerja Terbaik Industri adalah kategori baharu diperkenalkan sempena EDA 2018, bertujuan menghargai dan mengiktiraf kakitangan industri cemerlang serta mampu menjadi ejen perubahan kepada masyarakat juga komuniti sekeliling.

Ia merupakan satu daripada enam anugerah dipertandingkan pada EDA 2018 anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC).

Selain Anugerah Pekerja Terbaik Industri, lima anugerah lain turut dipertandingkan termasuk Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Jalan Raya, Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat, Anugerah Inovasi, Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan dan Anugerah Kecemerlangan Penghantaran.

Masing-masing menerima membawa pulang RM1,000 beserta sijil.

Terdahulu, EDA 2018 merupakan acara tahuhan berprestij bagi memberi penghargaan kepada individu dan pemain industri yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan.


Pengarang :