EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia rendah ekoran jualan sederhana

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan jualan sederhana, susulan penahanan eksekutif kanan China dari syarikat gergasi teknologi Huawei, yang menyebabkan kebimbangan meningkat bahawa ia boleh memberi kesan kepada kemajuan perbincangan perdagangan AS-China, kata peniaga.

Pada jam 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI utama (FBM KLCI) susut 1.04 mata kepada 1,682.30 daripada 1,683.34 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka rendah 1.97 mata kepada 1,681.37.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 91 berbanding 77, dengan 113 kaunter tidak berubah, 1,588 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 157.47 juta unit bernilai RM25.93 juta.

Ketua Pegawai Kewangan Huawei Meng Wanzhou ditahan di Kanada dan menghadapi tuduhan yang tidak dinyatakan di Mahkamah Daerah Timur New York.

Stephen Innes, Ketua Dagangan di Singapura Oanda berkata isu Huawei timbul pada masa yang tidak sesuai, dengan pasaran terasa bahang berikutan kekeliruan menguasai Kumpulan 20 (G20).

“Bagaimanapun, apabila meliputi isu perang perdagangan dengan peralihan daripada bank pusat utama, ia hanya menambah tahap kekeliruan baharu yang tidak diingini pada akhir tahun,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum, yang menamatkan perbincangan semalam tanpa perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran minyak (untuk kali pertama dalam tempoh hampir lima tahun), menyebabkan harga minyak susut 0.60 peratus kepada US$59.70 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.44, Public Bank merosot 14 sen kepada RM24.74, Tenaga susut dua sen kepada RM13.74, manakala Petronas Chemicals turun tujuh sen kepada RM9.20.

Daripada saham aktif, Tatt Giap, Perak Transit dan MyEG, masing-masing meningkat satu sen kepada 2.5 sen, 27 sen dan RM1.16, manakala Hubline tidak berubah pada empat sen.

Indeks FBM Emas Shariah naik 1.06 mata kepada 11,616.32, FBM 70 menambah 32.99 mata kepada 13,497.02 dan Indeks FBM Ace menokok 12.67 mata kepada 4,742.47.

Indeks FBM Emas naik 3.61 mata kepada 11,606.91 dan Indeks FBMT 100 meningkat 1.09 mata kepada 11,484.01.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 22.99 mata kepada 6,860.77 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 18.99 mata kepada 17,470.66, bagaimanapun, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.60 mata kepada 168.80.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :