PBTSELANGOR

Pameran Anggerik Shah Alam pikat pencinta bunga

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menganjurkan Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018, di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, mulai 10 hingga 16 Disember ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pasar itu dibuka kepada umum dari jam 9 pagi hingga 8 malam dengan membabitkan penyertaan 40 penggerai yang menjual pelbagai jenis produk pertanian dan nurseri.

“Produk ini dari jenis jualan pokok Bunga Annual, Anggerik, Bougainvilla, Rose, hasil kebun seperti sayur-sayuran (bayam, cili, jagung, kobis, roselle, limau dan terung), kompos serta baja organik.

“Selain itu, lot jualan juga terdiri daripada barangan ‘Hardscape’ melibatkan barangan seperti ‘wakaf, pergola, perabot taman daripada jenis buluh dan material ‘Wood Plastic Composit’ serta barangan alatan permainan kanak-kanak jenis ‘outdoor’,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, program itu adalah komitmen berterusan MBSA bagi mendidik komuniti menghargai suasana hijau dan keindahan landskap.

Katanya, melalui program seumpama itu, orang ramai dapat mengenali pelbagai jenis bunga mengikut spesies, selain menggalakkan sikap cintakan alam sekitar.

“Ia juga platform MBSA untuk memperkenalkan produk tempatan dan menggalakkan penduduk, di sekitar Shah Alam terutamanya, menanam pokok bagi menghijaukan suasana alam sekitar di kediaman masing-masing.

“Pasar bunga ini diharapkan menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara, khususnya buat peminat bunga serta tanaman hiasan,” katanya.

Antara pengisian aktiviti lain sepanjang program adalah Pertandingan Anggerik Individu (terbuka kepada Ahli Kelab Anggerik Shah Alam dan Penduduk Shah Alam), Pameran serta Bengkel Anggerik, aktiviti Mencanting Batik, Pertandingan Melukis Kanvas, Mewarna Kanak-Kanak juga aktiviti Memancing Mini Kanak-Kanak.

Terdapat juga ‘Petting Zoo’ yang dikendalikan ‘Farm In The City’ untuk kanak-kanak tanpa sebarang bayaran, selain jualan makanan kendera saji (Food Truck).


Pengarang :