SUKANKINI

OPA ungguli Final Liga Alumni 2018

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Alumni Royal Military College, Kuala Lumpur (OPA) mengungguli Final Ragbi Liga Alumni 2018 selepas menewaskan Alumni Victoria Institution, Kuala Lumpur (VIOBA) 17-10.

Pada aksi dalam keadaan hujan renyai di Padang Bellamy, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), OPA mendahului permainan 7-0 hasil trai Afif Norzal dan conversion daripada Afif Hakimi.

VIOBA berjaya merapatkan kedudukan 7-5 hasil trai Ameer Imran bagaimanapun Aqil Mahat gagal menyempurnakan conversion.

Babak pertama yang berakhir dengan keputusan OPA 7-5 VIOBA menyaksikan dua pemain OPA dikenakan kad kuning mengakibatkan mereka dikenakan Sin Bin dan keluar selama 10 minit.

Aksi babak kedua menyaksikan OPA terus mengasak kubu VIOBA dan akhirnya berjaya menjarakkan kedudukan 12-5 menerusi trai Afif Hakimi tetapi beliau gagal menyempurnakan conversion.

Kedudukan menjadi 17-5 memihak OPA selepas trai daripada Fuad Salleh tetapi Zainor Danial Husni Zainudin gagal menyempurnakan conversion.

Bagaimanpun VIOBA berjaya merapatkan kedudukan kepada 17-10 hasil trai Nadzrin Nasir bagaimanapun Aqil Mahat sekali lagi gagal menyempurnakan conversion buat kali kedua dalam perlawanan ini.

Dalam pada itu, Old Putera, Mohd Azizan Zainal Abidin memuji pemainnya yang menampilkan corak persembahan penuh berdisiplin sepanjang permainan, namun beberapa kelemahan akan diperbaiki selepas ini.

“Satu perlawanan yang sengit dan kita perlu beri kredit kepada VIOBA atas persembahan yang baik.

“Babak kedua pasukan saya menampilkan persembahan penuh berdisiplin walaupun ada kesilapan mudah yang dilakukan tambahan dua pemain dikenakan Sin Bin,” katanya.

Bagi Pengurus VIOBA, Sahrul Salim menyifatkan pemainnya sudah melakukan yang terbaik sepanjang musim ini walaupun cuba bangkit di setiap babak permainan.

“Saya bangga dengan persembahan pasukan saya kerana mereka sudah memberikan yang terbaik tetapi bukan hari ini bukan hari kita walaupun berjaya bangkit daripada ketinggalan tiga trai.

“Yang penting kedua-dua pasukan terhibur dengan persembahan terbaik,” katanya.

 

 


Pengarang :