SELANGOR

PKNS belanja RM2.9 juta baik pulih rumah asnaf

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 10 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membelanjakan RM2.9 juta bagi membiayai kos baik pulih rumah asnaf, di negeri ini, sejak 2013.

Ketua Pegawai Operasinya, Norita Mohd Sidek berkata, ia adalah salah satu inisiatif PKNS melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat, pada setiap tahun untuk membentuk nilai murni dan meraikan ukhuwah dengan masyarakat.

“Sebagai sebuah perbadanan berteraskan perniagaan hartanah, kami amat memahami kepentingan untuk memiliki kediaman selamat dan selesa, bukan sahaja sebagai tempat berteduh, malah menjadi institusi membina keluarga berjaya serta bahagia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Baik Pulih Rumah dan Bantuan Persekolahan Asnaf daerah Gombak, di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak di sini, semalam.

Katanya, sehingga kini PKNS membelanjakan RM462,496 bagi membaik pulih 16 buah rumah asnaf, di daerah berkenaan membabitkan kos RM16,000 hingga RM47,000, bagi setiap rumah tertakluk kepada jenis kerosakan.

Beliau berkata, sebahagian besar rumah yang dibaik pulih di Gombak juga sudah siap dan hanya tinggal beberapa sahaja lagi akan siap, pada masa terdekat.

“Selain di Gombak, PKNS sebelum ini turut membaik pulih rumah asnaf di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Petaling, Sepang dan Hulu Selangor sebelum diteruskan ke daerah lain, pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :