NASIONAL

Polis tahan 2 lelaki dipercayai cuba seludup rokok

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Dua lelaki tempatan, masing-masing berumur 33 dan 43 tahun, ditahan dalam ‘Op Asap’ di Puchong, Selangor, bagi membantu siasatan berhubung rampasan 4,960 karton rokok seludup, pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis turut merampas dua buah lori dan sebuah kereta dengan anggaran nilai rampasan selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM411,360.00 .

“Kedua-dua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang selama empat hari mulai 15 hingga 18 Jan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejayaan Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman itu adalah atas maklumat orang awam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :