SELANGOR

Denggi biak dalam tong simpanan air peniaga pasar

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 8 FEB: Tindakan segelintir peniaga Pasar Pelabuhan Klang tidak menutup tong simpanan air dengan kemas menyebabkan ia menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Hasil pemeriksaan mengejut EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud bersama pengutkuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang itu juga mendapati hampir kesemua tong air yang diperiksa mempunyai larva nyamuk berkenaan.

Katanya, pihaknya akan memberikan amaran awal kepada peniaga supaya menyimpan air berkenaan dalam keadaan tertutup, sebelum dikenakan kompaun selepas ini.

“Peniaga ini menyimpan air untuk kegunaan membersihkan tempat perniagaan, namun mereka perlu menutup bekas-bekas air ini dengan lebih rapi bagi mengelakkan nyamuk membiak.

“Pada awalnya ketika mula masuk ke pasar, saya dapati kawasan persekitaran bersih, namun setelah membuat pemeriksaan terperinci barulah kita dapati pasar juga menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Saya lihat tadi hampir kesemua tempat simpanan air mempunyai larva nyamuk, saya berharap supaya selepas ini peniaga pasar akan ambil maklum perkara ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Operasi Ops Denggi bersama PKD Klang dan Majlis Perbandaran Klang di Pasar Pelabuhan Klang, petang semalam.

Turut serta Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed serta hampir 20 penguatkuasa.

Siti Mariah berkata, mengikut kajian pihaknya pada 2018 mendapati lokasi tumpuan awam termasuk pasar malam, pasar pagi dan juga hentian bas diantara tempat pembiakan nyamuk aedes.

 

“Oleh sebab itu kita akan memperhebatkan operasi di tempat sebegini bagi mengelakkan kes denggi terus meningkat.

“Pada zahirnya tempat sebegini nampak bersih pada mata kasar, namun masih banyak tempat tersembunyi yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk sekali gus perlu dibasmi segera,” katanya.


Pengarang :