PBTSELANGOR

MPSJ laksana program tembak gagak pada 16 Mac

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 27 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menjalankan program menembak gagak di kawasan pentadbiran itu, bermula jam 7.30 pagi hingga 7.30 petang, pada 16 Mac ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, kawasan yang terbabit ialah SS15, PJS 7, Taman Mawar, Lake Edge Bandar Puteri dan Bukit Tandang.

“Program ini bertujuan mencegah kawasan berkenaan daripada najis gagak yang mengotorkan kawasan dan memberi ancaman penyakit, selain mengurangkan populasi haiwan itu yang boleh menimbulkan kacau ganggu penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.2/2019, di Bilik Mesyuarat Kenanga Aras 2, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, program yang turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia, Persatuan Penembak Subang dan Jawatankuasa Penduduk MPSJ itu terbuka kepada orang awam yang mempunyai lesen ‘Carry & Use’ (C&U) serta lesen memburu.

Katanya, kadar bayaran bagi setiap ekor gagak yang berjaya dimusnahkan adalah RM3.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati sewaktu melalui kawasan berkenaan, khususnya kanak-kanak sepanjang program dilaksanakan dan penembak perlu mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.


Pengarang :