NASIONAL

MCMC: 47 kertas siasatan dibuka, lima dijatuhi hukum

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 MAC: Antara tahun lalu sehingga Febuari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)  sudah membuka 47 kertas siasatan dengan lima daripadanya sudah dijatuhkan hukuman.

MCMC dalam kenyataan media berkata, sejumlah 2,358 proses bantuan teknikal dan pengenalpastian maklumat bagi membantu proses siasatan agensi penguatkuasaan telah dilaksana MCMC.

“Selain itu, sebanyak 3,407 akaun media sosial palsu termasuk disalahgunakan untuk penyebaran mesej bersifat ekstrimis, kebencian dan fitnah serta 1,163 kandungan berunsur sama telah disusuli tindakan pemadaman dengan kerjasama pihak pengendali platform media sosial antarabangsa.

“Dalam tempoh sama, MCMC juga membantu dalam mewar-warkan maklumat bagi menangani 979 berita palsu yang tular di media sosial dan internet melalui inisiatif portal sebenarnya.my dikendalikan MCMC,” katanya.

Katanya, usaha dijalankan MCMC itu akan terus dipertingkatkan bagi memastikan sebarang anasir yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan negara dibendung.

“Ini termasuk mempergiatkan aktiviti mendidik masyarakat melalui program advokasi Klik Dengan Bijak untuk memupuk budaya penggunaan internet secara positif dan berhemah.

“MCMC sentiasa khususnya melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dan sentiasa komited untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara,” katanya.

 


Pengarang :