NASIONAL

KKM senarai 12 produk kosmetik mengandungi racun berjadual

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan 12 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual dan menggesa orang awam daripada membeli dan menggunakannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, senarai produk berkenaan dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

Katanya, pembatalan dibuat kerana produk tersebut mengandungi chloramphenicol, sulfamethoxazole, trimethoprim, griseofulvin, metronidazole, ketoconazole, chlorpheniramine, hydroquinone dan tretinoin yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan kerana boleh menyerap masuk ke dalam badan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-anak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.


Pengarang :