NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini dipengaruhi prestasi lemah di Wall Street, yang menamatkan aliran meningkat paling lamanya dalam masa tempoh dua bulan.

Para pelabur memantau prospek rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan dasar kadar faedah Rizab Persekutuan AS selepas Presiden Donald Trump berkata pada Selasa beliau menangguhkan perjanjian perdagangan dengan China melainkan Beijing bersetuju dengan empat atau lima “perkara utama” yang beliau tidak nyatakan.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.35 mata kepada 1,643.85 daripada 1,651.20 pada 5 petang Selasa.

Indeks utama itu dibuka 4.53 mata lebih rendah kepada 1,646.67.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 128 berbanding 81, dengan 185 kaunter tidak berubah, 1,494 tidak diniagakan dan 31 digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 98.37 juta bernilai RM55.47 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata susulan penurunan FBM KLCI semalam, pasaran mula menyusut dalam keadaan petunjuk teknikal positif selepas berada dalam aliran meningkat beberapa minggu lepas

“Trend baharu muncul, yang kemungkinan akan berlaku penurunan dalam tempoh terdekat yang boleh mencetuskan lebih banyak aktiviti pengambilan untung dalam tempoh terdekat.

“Masih ada sedikit ruang bagi peningkatan, bukan hanya disebabkan keadaan positif tetapi juga berikutan penilaian saksama susulan peningkatan lebih daripada empat peratus baru-baru ini,” kata firma penyelidikan itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank turun dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.97 dan RM23.46, Tenaga susut 14 sen kepada RM12.34, Petronas Chemicals berkurangan lapan sen kepada RM8.29 dan CIMB jatuh tiga sen kepada RM5.29.

Dalam kalangan saham diniagakan cergas, HPMT Holdings turun satu sen kepada 55 sen, Ikhmas Jaya menokok satu sen kepada 22 sen, Bahfest dan APFT meningkat setengah sen masing-masing kepada 69.5 sen dan dua sen manakala SMTRACK tidak berubah pada 18 sen.

Indeks FBM Emas turun 41.99 mata kepada 11,587.40, Indeks FBMT 100 susut 40.89 mata kepada 11,437.98, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 56.74 mata kepada 11,783.69 dan FBM 70 jatuh 9.88 mata kepada 14,368.95.

FBM Ace naik 22.49 mata kepada 4,426.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 42.55 mata kepada 16,821.32 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.45 mata kepada 160.16 manakala Indeks Perladangan berkurangan 11.80 mata kepada 6,876.65.

-BERNAMA


Pengarang :