SELANGOR

KDEBWM hasrat tawar perkhidmatan luar Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 27 JUN: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) merancang mengembangkan sayap perniagaan dalam industri pengurusan sisa pepejal ke negeri lain apabila berjaya mengambil alih kontrak di kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pada masa ini KDEBWM sudah berjaya mengambil alih kontrak pengurusan sisa pepejal di 11 PBT.

“Kami sedia menawarkan perkhidmatan kepada mana-mana pihak di seluruh negara dengan nilai berbaloi kerana berdasarkan pencapaian di Selangor, terbukti kami mempunyai keupayaan untuk memberi perkhidmatan di tempat lain.

“Selepas berjaya dalam masa beberapa tahun sahaja sejak 2016, kami hanya perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada malam Anugerah Amalan Baik Asia Pasifik Frost & Sullivan 2019 di Hotel Hilton Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Selain mengembangkan sayap perniagaan ke luar Selangor, Ramli berkata, KDEBWM juga bersedia mengembangkan perniagaan dalam bidang kitar semula.

Katanya, hal itu kerana bidang itu mampu menjadi sumber ekonomi seperti dilaksanakan di banyak negara maju lain.

“Kita sudah mengorak langkah membabitkan diri dalam kitar semula ini dan kita juga membuat satu pelan kitar semula di Klang, yang akan dirasmikan dalam masa terdekat,” katanya.

Antara produk yang boleh dihasilkan daripada amalan kitar semula seperti bio diesel dan resin.

Katanya, selain menjadi sumber ekonomi, aktiviti kitar semula juga mampu mengurangkan pembuangan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah.


Pengarang :