BERITA UTAMASELANGOR

Khutbah Jumaat : “Fitnah Membawa Punah”

“FITNAH MEMBAWA PUNAH”

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

“Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya serta selamat di dunia dan di akhirat” -Al-Buruj : 10.

Mimbar Jumaat pada hari yang mulia ini akan membicarakan khutbah
bertajuk “FITNAH MEMBAWA PUNAH”.

Hadirin yang dirahmati Allah,
Dunia hari ini menyaksikan perkembangan media sosial baru yang sangat pesat membangun. Agama Islam sama sekali tidak menghalang kemajuan atau pemodenan, namun tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kemudahan media sosial hari ini telah bertukar wajah membentuk satu gejala yang sangat membimbangkan. Disamping perkara-perkara positif, terdapat juga unsur-unsur kemungkaran yang telah timbul, membesar, membiak dan mewabak dalam masyarakat kita melalui media sosial ini. Bukan sahaja melibatkan pendedahan aurat di sana sini, membuka keaiban orang lain juga sudah tidak menjadi asing lagi. Melemparkan tuduhan, fitnah, saling menyalah antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca perpecahan dan perbalahan ummah yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 19:

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada zaman teknologi dunia tanpa sempadan ini segala perkara, peristiwa dan berita mudah disebarkan dengan cepat, meluas dan mudah. Hanya dengan perantaraan media sosial seperti facebook dan Whatsapp, ia dapat disebarkan ke seluruh dunia dalam beberapa saat sahaja. Ditambah dengan sikap tidak mahu ketinggalan maka “berita sensasi” atau “berita panas” terus disebarluaskan dan ditokok tambah tanpa sebarang usul periksa. Hakikat sebenarnya, berita-berita tanpa sebarang pengesahan dan pembuktian adalah fitnah-fitnah yang disebarluaskan.
Sungguhpun Allah telah memuliakan kita dengan akal fikiran, mengurniakan kita nikmat yang tidak terhitung, namun dunia maya dan internet ini kadang-kadang berjaya menjadikan kita seorang makhluk yang kotor lidahnya dan buruk penanya, insan yang dusta dan fasiq, insan yang terburu-buru, jiwa yang gopoh, tergesa-gesa dan lemah serta pemikiran yang celaru.

Allah SWT memberi amaran kepada setiap manusia yang suka melaga-lagakan orang lain sama ada dengan penulisan ataupun pengucapannya melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 58:

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata”.

Hadirin yang dirahmati Allah,
Al-Quran dan hadis telah lama memperingatkan tentang bahayanya dan beratnya azab perbuatan fitnah. Sesungguhnya fitnah itu satu perbuatan keji dan diancam oleh Allah SWT dengan balasan azab yang pedih. Ini
berdasarkan nas-nas syarak yang melarang dan mengeji perbuatan menyebar fitnah. Antaranya:

Pertama: Penabur fitnah adalah orang yang paling keji.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 10 dan 11:
“Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”

Abdul Rahman Bin Ghanmin R.Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (Riwayat al-Haithami).

Kedua: Penabur fitnah bakal mendapat azab Allah SWT.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub
R.Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:

“Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi
batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan daripada rumahnya sehingga ke seluruh ufuk penjuru dunia”. (Riwayat al-Bukhari).

Ketiga: Penabur fitnah tidak akan masuk Syurga.

Sebagaimana diriwayatkan daripada Huzaifah Radhiallahu Anhu bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:

“Penabur fitnah tidak akan masuk syurga”. (Riwayat al-Bukhari).

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Sesungguhnya fitnah banyak membawa keburukan terhadap manusia. Fitnah adalah dosa manusia sesama manusia. Allah SWT tidak akan mengampun dosa pembuat dan penyebar fitnah kecuali individu yang difitnah telah memberikan kemaafan. Betapa berat kesan penyebaran fitnah itu kerana ianya boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu, tokoh atau kumpulan tertentu.

Fitnah juga boleh merosakkan persaudaraan, menyebabkan keadaan menjadi kucar-kacir bahkan boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan. Bermula dengan fitnah, hubungan adik beradik, suami
isteri, jiran tetangga dan sebagainya rosak akhirnya hancur bahkan membentuk permusuhan yang berkekalan hingga mengganggu gugat keamanan negara.

Oleh itu, marilah sama-sama kita melakukan perkara-perkara yang lebih bermanfaat berpandukan syariah daripada melakukan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT yang akhirnya membawa musibah kepada negara dan merugikan ummah.

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah yang disampaikan pada hari yang mulia ini khatib
ingin berpesan kepada hadirin Jumaat yang berbahagia agar:

1. Kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa meyakini bahawa
setiap perkataan dan perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di
hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

2. Umat Islam dilarang menyebarkan fitnah kerana fitnah boleh
menimbulkan perpecahan dan perbalahan.

3. Umat Islam hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Islam dan
jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak
termasuklah perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dengan terlebih
dahulu menyelidik setiap sebaran berita yang diterima untuk mengelakkan
tersebarnya gejala fitnah yang membawa punah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al:Hujurat : 6).

 

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan rahmat dan
keberkatan kepada negeri ini yang terus sejahtera dan maju, serta rakyatnya bersatu padu, dibawah naungan dan pimpinan raja kami sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman dan pegangan kami kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, peliharalah kami daripada ajaran yang terkeluar daripada Islam seperti Qadyani dan ajaran-ajaran yang difatwakan sesat seperti Syiah. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, satukanlah hati-hati kami, kurniakanlah kami rezeki yang luas lagi barakah, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat dan lindungilah kami daripada bala bencana. Ya Allah, kurniakanlah petunjuk kepada kami untuk mendirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah, menunaikan zakat melalui Lembaga Zakat Selangor, mewakaf dan menginfakkan harta melalui Perbadanan Wakaf Selangor dan Tabung Amanah Pembangunan Islam Selangor.

 

Sumber teks khutbah Jumaat ini disiarkan dalam laman sesawang JAIS


Pengarang :