SELANGOR

LRA Sungai Langat terjejas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat terjejas ekoran hujan lebat dan kuantiti sampah sarap yang banyak terkumpul di muka sauk.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, hal itu sekali gus menjadi punca alat penapisan mekanikal tersumbat dan gagal berfungsi.

Katanya, pihaknya kini sedang giat melakukan kerja pembersihan sampah di muka sauk terbabit.

“Oleh itu insiden ini dijangka menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat, Kuala Lumpur dan Petaling secara berperingkat.

“Kami sedang berusaha mengatasi masalah ini dan meminimumkan impak gangguan bekalan kepada pelanggan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Maklumat dan senarai kawasan terjejas akan dimaklumkan menerusi laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.


Pengarang :