GEORGE TOWN, 13 JUN: Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama Khas yang diketuai oleh Kementerian Perusahaan Utama bagi memantau dan memastikan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal stabil apabila negara melaksanakan bahan api biodiesel B20 pada tahun hadapan.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata hari ini, jawatankuasa khas itu, yang juga merangkumi Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Perdana Menteri, akan membincangkan subjek berkenaan sebelum dilaksanakan menjelang 2020.
“Jadi, semalam semasa mesyuarat kabinet, semua kementerian dalam jawatankuasa bersama itu telah bersetuju untuk bekerjasama kerana ia melibatkan undang-undang serta peraturan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kedua FMM-MPOB mengenai Perlaksanaan Biodiesel (B7) di Sektor Industri di sini.
Katanya, Malaysia berhasrat untuk menubuhkan satu dana penstabilan biodiesel untuk membantu memantapkan harga bahan api bio, serta menjadikan bahan api itu lebih menarik kepada pengguna.