NASIONAL

Mahkamah benar Najib hadir sidang Dewan Rakyat esok

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok bagi menyertai perbahasan dan mengundi dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan untuk menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Esok dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga bagi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkenaan dan pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Sekiranya RUU itu diluluskan, had usia mengundi 18 tahun akan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi pelepasan tersebut setelah mendengar hujahan daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, selain mengambil kira permohonan daripada pihak pembelaan sejak minggu lalu.

“Mengambil kira faktor pihak pembelaan telah membuat permohonan minggu lalu, mahkamah bersetuju bahawa prosiding perbicaraan esok akan ditamatkan pada 11 pagi bagi membolehkan tertuduh menghadiri sidang Parlimen,” kata Hakim Mohd Nazlan.

Terdahulu, Muhammad Shafee dalam hujahnya berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam surat masing-masing turut menggesa semua Ahli Parlimen untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi pembentangan RUU ini.

“RUU ini bukan sahaja serius, malah amat bersejarah dalam Perlembagaan negara, saya mohon mahkamah memberikan peluang untuk anak guam saya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan bagi menghadiri persidangan Parlimen atas alasan tiada kepastian yang jelas bila sebenarnya Ahli Parlimen perlu mengundi untuk meluluskan rang undang-undang tertentu.

Sementara itu, mahkamah menetapkan Khamis ini bagi mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai akaun Ambank miliknya.

Muhammad Shafee dalam hujahnya sekali lagi menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak bank menghalang anak guamnya mendapatkan dokumen diperlukan.

“Mengikut peruntukan, bank tidak boleh berbuat demikian. Anak guam saya adalah pemilik akaun tersebut dan kami perlukannya bagi mempersiapkan pembelaan kami dalam kes ini dan juga kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) . Data-data dalam akaun itu pun bukan boleh dipinda kerana ia adalah dokumen bank,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram memohon supaya pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara formal kerana ia perkara serius dan melibatkan polisi awam.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan Khamis ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak itu.

– BERNAMA


Pengarang :