Selangorkini
NASIONAL

Daun dan cecair ketum bernilai RM49,878 dirampas

PADANG BESAR, 15 JUL: Polis dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) berjaya merampas 4,796 kilogram daun ketum dan 191.8 liter cecair ketum bernilai RM49,878 dalam satu operasi sekitar daerah ini, berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, dalam Op Tapis Bersepadu bermula 1 Julai itu, pihaknya turut menahan 13 lelaki berumur antara 30 dan 40-an, termasuk seorang penjawat awam kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Mereka disyaki cuba menyeludup daun dan cecair ketum yang telah diproses ke negara jiran (Thailand). Kita tahu permintaan daun ketum dan cecair ketum begitu tinggi di sana.

“Sekilo daun ketum dijual di sana (Thailand) bernilai RM40 hingga RM50, dan sekiranya jauh dari pintu sempadan boleh mencapai harga lebih tinggi. Kalau di Malaysia, cuma sekitar RM15 ke RM20 sekilogram daun ketum,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Komander Aksem Padang Besar, ASP Mohd Tajuddin Abdullah dan Komander Kompani A PGA Batalion Kedua Kulim, Kedah, ASP Mohd Nazrul Nanyan.

Muhamad Halim berkata, polis percaya kebanyakan mereka terlibat itu memindahkan operasi pembuatan dan pemprosesan cecair ketum jauh ke dalam hutan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, mereka tidak lagi menjalankan operasi di premis bangunan atau rumah kediaman kerana bimbang diserbu pihak berkuasa, selain turut menggunakan kenderaan sendiri dan treler.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, polis bersama PGA dan Aksem merampas 42,909.5 kilogram daun ketum bernilai RM429.095, cecair ketum seberat 2,689.63 liter bernilai RM26,896.30 dan cecair kodein (ubat batuk) bernilai RM29,775 dengan tangkapan melibatkan 155 orang.

Turut dirampas dadah jenis syabu, heroin, ganja dan pil erimin 5 dianggarkan bernilai lebih RM73,000 dengan tangkapan membabitkan 223 orang, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :