EKONOMINASIONAL

MIDA gesa syarikat tempatan sertai projek pemecut ekonomi

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mewujudkan Unit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi pusat khusus untuk memudahkan serta mempromosi pembangunan Projek-Projek Pemecut Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor ECRL.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi kerajaan itu berkata unit berkenaan kini dalam proses melibatkan negeri-negeri terbabit dan pihak berminat bagi menyalurkan maklumat serta mempromosi EAP berkaitan.

“EAP itu akan turut meliputi pembangunan sebuah taman industri di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia bagi menarik perdagangan dan pelaburan di sepanjang koridor ECRL.

“Ini termasuk penubuhan hab logistik di kawasan pertukaran pengangkutan bagi menggalakkan aspek kesalinghubungan dan pengangkutan barangan di bawah projek ECRL, stesen pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan bagi menyokong pertumbuhan taman-taman industri,” demikian menurut MIDA.

Sejajar peranannya sebagai agensi pelaburan utama negara ini, MIDA akan mengenalpasti dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berminat menjalin kerjasama dengan China Communications Construction Company LTD (CCCC) dalam EAP tersebut berdasarkan memorandum persefahaman yang dimeterai dengan CCCC.

Menurut MIDA, setakat ini ia telah terbabit dalam banyak program kesedaran untuk mengetengahkan maklumat berkaitan ECRL dan merancang menganjurkan seminar dan acara perniagaan untuk terus mempromosi dan menerima maklumat daripada syarikat yang berminat menyertai pembangunan EAP. – BERNAMA


Pengarang :