Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
AGENDANASIONAL

DPLB 2030 diteliti seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 akan diteliti mengikut kesesuaian masa dan keadaan, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, DPLB 2030 yang dilancarkan Jun lepas mengambil kira inisiatif wawasan itu yang memberi fokus sama iaitu merapatkan jurang pendapatan antara negeri; wilayah dan wilayah; golongan kaya dan miskin; serta bandar dan luar bandar.

“KPLB akan mengambil insiatif ini kerana apabila DPLB 2030 dilancarkan, kita bukan hanya fokus kepada pembangunan infrastruktur fizikal tetapi kita mahu bangunkan juga pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.

“Berbilion-bilion (ringgit) dibelanjakan selama ini tetapi kenapa masyarakat luar bandar masih miskin sebab itu kita mahu fokus juga bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi pembangunan masyarakat dari segi ekonomi.

“Kita mahu supaya masyarakat luar bandar ini memainkan peranan lebih aktif dan saya yakin kalau mereka diberi motivasi dan inspirasi, mereka juga boleh berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Komuniti Sejahtera Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, di sini, hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Perdana Putra, Putrajaya semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, wawasan itu bukan untuk menjadikan semua orang jutawan tetapi memastikan rakyat merasakan mereka mendapat bahagian yang adil mengikut kategori masing-masing.

DPLB 2030 yang dilancarkan pada 27 Jun lepas, menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan tiga prinsip utama – kemapanan, inklusif dan holistik, yang setiap satunya merangkumi asas kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dan pelbagai dimensi.

Sementara itu, Program Komuniti Sejahtera anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu merupakan kempen amalan gaya hidup sihat, memperkasa semangat kesukarelaan serta mewujudkan hubungan dalam kalangan komuniti bersama pemimpin tempatan, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :