SHAH ALAM, 1 SEPT: Umat Islam perlu menunjukkan teladan baik kepada masyarakat bukan Islam dan meraikan kepelbagaian yang ada di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama serta latar belakang bagi mengelak berlaku perpecahan.
Tokoh Maal Hijrah Selangor 1441H, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, beliau mempersetujui saranan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya bahawa umat Islam seharusnya menunjukkan sikap toleransi dalam kehidupan bermasyarakat.
Katanya, saranan itu sama sekali tepat terutama ketika suasana negara pada masa kini yang dihimpit pertelingkahan dan perselisihan sesama kaum.
“Bagaimanapun, adalah penting untuk kita menunjukkan teladan baik dan hormati antara satu sama lain.
“Daripada sekecil-kecil kesilapan, kita perlu mengutamakan kesamaan yang boleh dikongsikan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.
Pada masa sama, katanya, sebagai sebuah negeri berbilang bangsa rakyat termasuk umat Islam perlu menghormati antara satu sama lain ekoran perkara itu sememangnya dituntut Allah dan Rasulullah SAW.
“Walaupun kita berlainan agama mahupun berbeza fahaman politik, hubungan itu perlu dalam memajukan sesebuah negeri dan negara,” katanya yang juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo.
Terdahulu, pada majlis sama, Mohamad Adzib menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mewakili ayahandanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.