Keadaan sekitar kota Palembang, Sumatera Selatan diliputi jerebu yang dirakam dari udara pada 20 September 2019. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jerebu pulih: Pelajar Malaysia pulang ke Pekanbaru, Jambi esok

JAKARTA, 29 SEPT: Pelajar Malaysia di Riau, Sumatera yang dipindah ke Jakarta akibat jerebu baru-baru ini, dijadualkan kembali ke provinsi itu esok berikutan keadaan jerebu telah kembali pulih.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Riau yang sebelum ini melebihi bacaan 500, telah menurun ke bacaan bawah 150 sejak semalam.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia, Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata, semua pelajar Malaysia yang ditempatkan sementara di Malaysia Hall itu dijadual berlepas esok dengan pesawat Citilink.

Kumpulan pertama seramai 18 pelajar dijadual berlepas jam 11 pagi dari Jakarta ke Jambi dengan pesawat Citilink QG964.

Manakala kumpulan kedua seramai 35 pelajar akan berlepas jam 5.05 petang dengan pesawat Citilink QG938 dari Jakarta ke Pekanbaru.

Mereka dipindah pada 25 September lalu (Kumpulan pertama seramai 35 pelajar) dan 26 September lepas (kumpulan kedua seramai 18 pelajar), selepas Gabernor Riau, Syamsuar mengistiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu bermula 23 September lepas berikutan IPU telah melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

Berikutan hujan sejak tiga hari lepas, dan keadaan jerebu semakin pulih, Syamsuar berkata, status itu akan ditamatkan esok.

Pelajar terbabit dipindah ke Jakarta berikutan masih dalam proses permohonan visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas), manakala lebih 100 pelajar lagi dipindah atau pulang ke Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :