Pemandangan bandar raya Shah Alam yang dilanda jerebu pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Semua sekolah di Selangor ditutup hingga Jumaat

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kesemua sekolah awam dan swasta di Selangor diarah tutup bagi sesi persekolahan 19 September hingga 20 September 2019 berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan trend bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri Selangor, Dato’  Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, langkah ini diambil berikutan kenyataan media Jabatan Meteorologi Malaysia semalam yang memaklumkan bahawa jerebu teruk ini akan berterusan sehingga minggu hadapan.

“Pendedahan terhadap jerebu yang berpanjangan akan meningkatkan risiko terhadap kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru serta wanita mengandung.

“Arahan ini dikeluarkan setelah mengambil kira tahap pendedahan yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah sistem respiratori dan keselamatan pelajar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Amin berkata, Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah hendaklah memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing berhubung penutupan ini dengan kadar segera.

Katanya, penutupan sementara sekolah akibat cuaca jerebu ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan murid tidak terjejas.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan sentiasa berhubung dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkaitan tindakan dan langkah yang perlu diambil ketika cuaca negara sedang dilanda bencana jerebu,” katanya.


Pengarang :