AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia berisiko dilanda wabak Demam Kuning

SHAH ALAM, 1 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sehingga kini tiada kes Demam Kuning dilaporkan di Malaysia walaupun wabak itu sedang melanda Nigeria.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mempunyai risiko transmisi jangkitan penyakit ini disebabkan oleh terdapatnya nyamuk Aedes selain kehadiran pelawat dari negara berisiko serta penduduk tidak mengambil vaksin Demam Kuning.

“Kebiasaannya 85 peratus kes akan menunjukkan gejala ringan atau tidak menunjukkan sebarang simpton. Bagaimanapun, bagi yang bergejala, pesakit akan mengalami demam, badan menggigil, sakit badan, sakit kepala, loya dan muntah semasa fasa pertama.

“Sebanyak 15 peratus daripada kes fasa pertama akan masuk ke fasa kedua dengan pesakit akan mengalami gejala demam dengan jaundis, sakit bahagian abdomen, muntah dan perdarahan.

“Sebanyak 50 peratus daripada kes-kes pada fasa kedua ini akan meninggal dunia. Pengesahan kes boleh dibuat dengan ujian darah di makmal,” katanya dalam kenyataan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sebanyak 13 negara Amerika Selatan dan Tengah serta 29 negara Afrika disenaraikan berisiko mengalami transmisi Demam Kuning.

Beliau berkata, tiada rawatan khusus untuk penyakit Demam Kuning buat masa ini tetapi pengambilan vaksin Demam Kuning boleh mencegah daripada mendapat jangkitan penyakit tersebut.

Katanya, KKM akan terus mempertingkatkan langkah-langkah dalam usaha untuk mencegah kemasukan penyakit Demam Kuning ke dalam negara selaras dengan keperluan Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (International Health Regulations–IHR) 2005 dan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan 1988.


Pengarang :