ADNSELANGOR

Kerajaan Negeri akan bertemu pengusaha `bubble tea’

SHAH ALAM, 25 NOV: Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze akan mengadakan pertemuan terbuka dengan pengusaha ‘bubble tea’ bagi membincangkan isu penyedut plastik pada bulan depan.

Michelle berkata, pertemuan itu bagi membincangkan kaedah terbaik bagi menggantikan penggunaan penyedut minuman plastik yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, dalam pertemuan itu juga dijangka melibatkan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

“Buat masa ini masyarakat khususnya pelanggan ‘bubble tea’ dinasihatkan untuk menyesuaikan diri dengan membawa bekas termasuk penyedut minuman sendiri ketika berkunjung ke premis berkenaan.

“Memandangkan kempen bebas plastik adalah hala tuju Selangor, saya berharap masyarakat lebih bertanggungjawab dan memulakan budaya hidup baharu.

“Perkara ini penting untuk melindungi masa depan anak-anak kita bagi memastikan dunia yang ditinggalkan bersih dan kurang pencemaran,” katanya kepada SelangorKini.

Sehingga kini, dipercayai terdapat hampir 29 kedai minuman ‘bubble tea’ yang terletak di SS15, Subang Jaya.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar tong sampah di SS15 yang dipenuhi dengan bekas minuman plastik dari kedai berkenaan.


Pengarang :