Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM20 juta buat Program Jom Shopping Warga Emas

SHAH ALAM, 1 NOV: Sejumlah RM20 juta diperuntuk untuk Program Jom Shopping Warga Emas bagi dinikmati lebih 200,000 orang yang mendaftar dengan Skim Mesra Usia Emas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program ini dirangka khusus bagi memberdaya golongan warga emas dan meringankan beban kewangan mereka terutama menjelang musim perayaan.

“Program ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang dilaksana di Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM100,000 untuk Geran Penjagaan Warga Emas (GEMAS) dalam kalangan keluarga golongan B40 sebagai subsidi pembiayaan penjagaan mereka di bawah mana-mana pusat jagaan warga emas yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Manakala RM50,000 lagi untuk menyediakan Geran Sukarelawan Warga Emas (GESEMAS) bagi memberi galakan kepada golongan ini terus menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Sebagai projek rintis, GESEMAS ini akan bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di mana mereka boleh bersama-sama membangunkan pendidikan anak-anak istimewa di setiap PDK dalam Negeri Selangor,” katanya.


Pengarang :