AGENDANASIONAL

Berdaya usahawan persediaan hadapi industri 4.0

SHAH ALAM, 1 NOV: Sejumlah RM36.8 juta diperuntuk bagi memperkukuh dan menambah baik pelaksanaan program keusahawanan Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020, katanya fokus utama adalah memberi kesinambungan pemberdayaan usahawan kecil dan mikro supaya lebih berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran industri 4.0 dan pasaran global.

Antara usaha yang dirancangkan tahun hadapan:

– Penjenamaan semula program Jelajah Usahawan dengan nama baharu iaitu Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS)

– Menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Selangor sebagai platform kepada pembangunan menyeluruh usahawan dengan pembabitan beberapa jawatankuasa tetap, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan

– Melihat peluang produk pengeluaran berskala kecil serta produk ‘Homemade’ untuk dipasarkan ke pasaran global

Bagi program GROW yang berteraskan konsep bimbingan ‘Mentor-Mentee’, Kerajaan Negeri berpandangan program itu disusun supaya mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan kaum India melalui dana RM1 juta.

Dalam pembentangan sama, Amirudin mengumumkan modal tambahan sebanyak RM30 juta kepada Yayasan HIJRAH Selangor yang akan menyasarkan 3,000 usahawan baharu pada tahun 2020.

Katanya, Hijrah Selangor menyalurkan pinjaman RM460 juta kepada 46,352 usahawan dengan 61,196 pinjaman sehingga 31 Ogos 2019.

“Yayasan Hijrah Selangor juga turut menubuhkan sebuah koperasi untuk memberi manfaat kepada usahawan dengan mewujudkan rantaian perniagaan.

“Sehingga kini, seramai 11,325 orang menjadi ahli dengan dana terkumpul RM5.7 juta.

“Antara projek yang dijalankan ialah penjualan trak makanan, pembelian dan penjualan getah beku, penjualan peralatan perniagaan dan pertanian melalui Kohijrah Shop,” katanya.


Pengarang :