AGENDASUKANKINI

Skuad bola sepak Malaysia janji perbaiki kelemahan

MANILA, 25 NOV: Selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar pada aksi pembukaan bola sepak lelaki Sukan SEA 2019, skuad negara berjanji untuk meningkatkan segala kelemahan pada perlawanan seterusnya.

Penjaring gol Malaysia pada aksi di Stadium Memorial Rizal itu, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak berkata, beliau dan rakan sepasukannya akan lebih bekerja keras untuk memastikan kemenangan menjadi milik pasukan itu selepas ini.

Pemain berusia 19 tahun, yang bermain untuk kelab Jepun, Fagiano Okayama itu, berkata, bahagian serangan pasukan juga akan dipertajamkan sebelum bertemu tuan rumah, Filipina, Jumaat ini.

“Saya bersyukur kerana jaringkan gol dan saya bangga dengan pencapaian itu. Tapi pada masa yang sama, saya juga kecewa kerana kita tidak dapat kemenangan….Walaupun kita dapat cipta banyak peluang, tetapi bukan rezeki kita untuk menang pada hari ini.

“Dalam bola sepak, gol itu adalah segala-galanya, kalau kita tak jaringkan gol, kita tak menang. Jadi kita cuba memperbaiki lagi pada perlawanan seterusnya dan berharap dapat jaringkan lebih banyak gol,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Myanmar yang menampilkan aksi menyerang dan pantas, terlebih dahulu mengejutkan Malaysia dengan jaringan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13, sebelum gol hasil tandukan Hadi Fayyadh menyelamatkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-24.

– BERNAMA


Pengarang :