AGENDANASIONAL

Virus ASF: KKM jalankan pensampelan, pastikan tiada pencemaran

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan pensampelan bagi tujuan verifikasi keberkesanan proses retort (satu daripada proses dalam pemprosesan makanan) bagi produk hasilan babi untuk memastikan tiada pencemaran virus African Swine Fever (ASF).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sarawak bagi menangani kes tersebut.

“Seperti yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pengguna dinasihatkan mengelak daripada membeli produk ini termasuk pembelian dalam talian, serta tidak memberikan produk atau sisa produk ini sebagai makanan kepada babi.

“Ini bagi mengurangkan risiko ASF menjangkiti babi yang memakan sisa makanan haiwan yang telah tercemar dengan virus ASF,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Seksyen 13A Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan binatang atau sayuran yang berpenyakit, kotor, reput atau bangar (busuk) adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lapan tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sarawak sebelum ini dilapor mengeluarkan larangan pengimportan produk berasaskan babi ke atas negara yang dijangkiti virus ASF termasuk China.

Ia susulan Makmal Kesihatan Awam Veterinar, Bandar Baru Salak Tinggi yang mengesan DNA virus ASF pada produk ‘canned luncheon pork’ yang diimport dari China di Sarawak pada 25 Oktober.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini memaklumkan wabak ASF disahkan melanda 10 negara Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara, Laos, Myanmar, Filipina, Korea Selatan dan Timor Leste.

Wabak ASF merupakan penyakit haiwan dan tidak menjangkiti manusia (iaitu bukan dikategorikan sebagai penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia sama ada melalui haiwan hidup atau produk hasilan babi).

– BERNAMA


Pengarang :