AGENSISELANGOR

LZS-AYG sedia ruang belajar kondusif buat pelajar miskin bandar

SHAH ALAM, 31 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited membangunkan projek Al-Biruni Zakat Selangor bagi membina ruang belajar yang selamat dan kondusif buat pelajar miskin di negeri ini.

Ketua Pengawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Mat Yusop berkata, usaha membangunkan projek bersama Adab Youth Garage (AYG) itu dilakukan menerusi Program Pembangunan Kanak-Kanak Miskin Bandar.

“Kita mahu membantu kanak-kanak yang cemerlang dalam pelajaran tetapi terhalang kerana kemiskinan dan kekurangan kemudahan.

“Ini merupakan projek perintis LZS dan langkah pertama agensi itu dalam usaha menyantuni masyarakat miskin bandar di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Amal Adab Youth Garage 2019 di Kelab Shah Alam, pada 28 Disember lalu.

Saipolyazan berkata, setakat ini, LZS dan AYG telah membina enam ruang belajar buat anak-anak penduduk yang mendiami projek perumahan rakyat (PPR) iaitu seperti di PPR HICOM, PPR Desa Mentari 2, Taman Medan dan Kampung Cangkat.

Katanya, pusat interaktif belia itu beroperasi lima hari seminggu dan antara aktiviti dianjurkan seperti kelas mengaji, kelas tutorial dan homework club.

“Kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah tidak mempunyai tempat yang kondusif untuk mereka membuat kerja sekolah selain mereka sering berdepan gangguan semasa belajar.

“Lapan daripada 10 kanak-kanak atau 81 peratus didapati belajar di ruang tamu, sementara itu 15 peratus lagi tidak mempunyai tempat untuk belajar,” katanya.

Justeru, katanya, usaha penyediaan ruang belajar ini diyakini mampu membentuk generasi yang kurang berkemampuan mengubah kehidupan mereka.


Pengarang :